10 Februari 2009

Gus Dur- Bapak Pluralisme Indonesia


Semalam orang Cina di seluruh dunia meraikan hari Chap Goh Meh menandakan tamatnya perayaan Sambutan Tahun Baru Cina. Di Indonesia perayaan yang dikenali sebagai Imlek ini telah berlangsung dengan meriah tetapi sederhana di seluruh kota besar, terutama di Jakarta.

Kaum Cina Indonesia merupakan 5 peratus daripada 245 juta penduduk di negara yang mempunyai 17,000 pulau ini dan mereka amat berterima kasih kepada Gus Dur, mantan presiden keempat Indonesia.

Gus Dur atau nama lengkapnya Haji Abdurrahman Wahid, 69 tahun, ialah cucu pengasas Nahdlatul Ulama, badan Muslim terbesar Indonesia.
Sikapnya yang memperjuangkan pluralisme telah mendorong The Simon Wiesenthal Center (sebuah pertubuhan Yahudi) di Amerika Syarikat menganugerahinya Pingat Pejuang.

Walaupun buta, beliau telah menjadi presiden bermula 20 Oktober 1999 sehingga 23 Julai 2001. sewaktu memrintah Gus Dur telah membuang Intruksi (arahan) Presiden (Inpres) No. 14/1967 yang dilaksanakan presiden Suharto.

Tahun 1967, ketika Jeneral Suharto mula berkuasa beliau telah melarang kaum Cina merayakan pesta agama dan adat istiadat di depan umum tetapi hanya boleh dilakukan dalam lingkungan keluarga. Ini dilakukan dengan alasan untuk menyatukan bangsa Indonesia.

Semenjak itu antara tahun 1967 hingga 1999, kaum Cina dilarang mengadakan pesta agama dan budaya, arahan ini dilakukan dengan hasrat orang cina di Indonesia bukan lagi dikenali sebagai orang cina tetapi orang Indonesia.

Pada masa tersebut tidak ramai orang Cina menjadi pegawai awam, anggota parlimen atau menjadi pemimpin pemerintahan seperti bupati (pegawai daerah), gabenor dan menteri kabinet.

Gus Dur berasa larangan itu bersifat diskriminasi dan hujahnya, jika warga Indonesia yang lain boleh pergi ke masjid, gereja atau kuil Hindu, mengapa orang Cina dilarang ke kuil /Tokong.

Tetapi yang betul2 mengambil tindakan menghargai cuti Tahun Baru Cina bukan Gus dur tetapi, Presiden kelima Indonesia, Megawati Sukarnoputri yang menerajui tampuk pemerintahan Indonesia selepas itu, beliau semasa memerintah telah mengisytiharkan Tahun Baru China sebagai hari libur atau cuti nasional.

Selepas era reformasi, beberapa tokoh Cina muncul di persada nasional seperti Encik Kwik Kian Gie dalam jemaah kabinet Gus Dur.
Encik Alvin Lie pula dipilih sebagai anggota parlimen yang mewakili Parti Amanat Nasional (PAN). Mari Elka Pangestu pula kini menteri perdagangan dalam kabinet Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Kini ramai tokoh Cina menjadi pegawai tinggi contohnya Basuki Tjahaja Purnama kini bupati Bangka dan Christiandy Sanjaya pula timbalan gabenor Kalimantan Barat.
Dahlan Iskan, ketua editor akhbar Jawa Pos, pula telah mempopularkan istilah 'Tionghua' sebagai ganti perkataan 'Cina'.

Dulu orang Cina di Indonesia perlu menggunakan nama bahasa Jawa atau Indonesia, kini tidak perlu lagi berbuat demikian. Misalnya, pada zaman Suharto, nama Soe Hok Djien kurang dikenali berbanding nama Indonesianya, Profesor Arif Budiman. Nio Hap Liang, pemain badminton terkenal Indonesia, lebih dikenali sebagai Rudy Hartono.

Perubahan besar ini telah menaikkan nama Gus Dur sebagai 'bapak pluralisme'
.


Tiada ulasan: