11 Mac 2009

Renaisance, Reformasi dan Pencerahan


Sesudah mengalami zaman kelam (juga dikenali sebagai pertengahan) selama 600 tahun, bermula zaman kejatuhan Kerajaan Rom dan berakhir pada pertengahan abad ke-14, Eropah telah melalui zaman kebangkitan keintelektualan atau dikenali juga dengan Renaisance. Pada masa ini ada suatu keghairahan baru, suatu pencerahan ke atas semua aspek budaya pemikiran telah berlaku.

Renaisance sebenarnya berasal dari bahasa Perancis yang bermaksud pemulihan atau menghidupkan semula aspek kebudayaan dengan memberi penekanan terhadap pemulihan budaya meliputi aspek ilmu pengetahuan seperti sains, sastera dan seni klasik yang pernah menjulang Eropah sebagai pusat peradaban dunia.

Zaman ini berlangsung dari pertengahan abad ke 14 sehingga pertengahan abad ke 17 dan pertama kali diperkenalkan di Itali. Gerakan ini berlaku disebabkan kekalahan tentera kristian dalam perang salib dan kejatuhan Kota Constantinople (Istanbul). Kekalahan tersebut menyebabkan para pemikir dan golongan ilmuan beredar dari Kota tersebut menuju Itali. Mereka menyedari telah tiba masa untuk berubah dan memikirkan strategi untuk menguasai teknologi, sebelum itu mereka harus melepaskan diri dari pengaruh zaman pertengahan(kegelapan) dengan kembali kepada zaman klasik yang sebelumnya dilarang kerana dianggap melanggar misi ketuhanan. Gerakan ini bermula di Itali kemudian telah merebak ke seluruh Eropah melalui perkembangan intelektual dan pemikiran manusia.



Zaman ini juga dikenali sebagai kebangkitan atau kelahiran semula dan pemulihan budaya masyarakat Eropah. Hasil daripada Renaisance telah membuka jalan kepada kelahiran pelbagai aliran baru Eropah hingga abad ke 18 .

Pada saat ini kewibawaan institusi gereja dipersoalkan dan imejnya sangat merosot kerana pertentangan pendapat dengan para teologi, antaranya pandangan daripada Copernicus dan Galileo. Mereka memiliki pendapat yang bertentangan dengan pendapat yang dipegang oleh gereja khatolik mengenai sistem peredaran Matahari dan bumi. Pandangan ini menyebabkan masyarakat Eropah melihat ada kecacatan pada institusi gereja dan perlu pernafsiran semula atau reform.

Semua perkembangan dalam falsafah dan ilmu pengetahuan ini mempunyai kesan yang sangat besar pada iman orang Kristian. Para teologi agama pada masa itu sangat terpengaruh dengan falsafah dan ilmu pengetahuan. Ia menyebabkan wujud kesan positif dan negatif dikalangan orang kristian. Kesan positif menurut orang-orang Protestan adalah berlakunya gerakan Reformasi. Namun yang negatifnya pada saat itu juga orang Katolik yang berpusat di Rom mengutuk gerakan reformasi ini.

Gerakan Reformasi yang paling besar adalah dari Martin Luther (1483-1546). Reformasi berasal dari perkataan reform yang bermaksud melaksanakan perubahan atau pembaharuan terhadap sesuatu untuk hasilkan sesuatu yang lebih baik atau membentuk sesuatu yang baru.



Reformasi Luther ketika itu menyebabkab wujudnya gereja-gereja reformasi atau dikenali dengan gereja Protestan, dan ia telah mula didirikan di Jerman seterusnya diseluruh dunia. Tetapi yang pasti munculnya aliran Protestan telah menjadi titik awal toleransi dan pluralisme yang pada mulanya sukar diterima oleh aliran Katolik.

Munculnya gerakan reformasi ini kerana wujudnya perbezaan antara ajaran atau teologi dan amalan gereja dengan ajaran kitab. Peristiwa reformasi ini asalnya digerakkan oleh wujudnya penjualan surat penghapusan dosa di Jerman oleh Johann Tetzel. Sebenarnya tujuan penjualan surat-surat penghapusan itu adalah untuk mengumpulkan dana bagi pembinaan gereja Santo Petrus di Rom, tetapi tujuan itu dikaburi dengan “bahasa rohani” yang berisi janji palsu seakan-akan dengan membeli surat itu penganut roman Khatholik akan lebih terjamin selamat.

Lanjutan itu wujud Keberanian Martin Luther membawa arus baru dalam pemikiran dan penentangan terhadap pemahaman tradisonalisme gereja khatolik sehingga menyebabkan Prostestan berkembang pesat selepas itu. Kebangkitan Luther dan Protestan dianggap sinar baru bagi masyarakat eropah.

Pencerahan di eropah yang selari dengan reformasi digereja telah menyebabkan Eropah bangkit dari kesuraman, sehingga ia menjadi kelahiran semula eropah. Pada saat itu segala bidang cabang ilmu telah bekembang dengan pesat di eropah. Berkembangnya keilmuan dan pemikiran masyarakat pada masa itu telah menyebabkan gereja kelihatan bodoh di kalangan masyarakat. Kebenaran sesuatu perkara mesti dibuktikan dengan ilmu sains dan itulah yang menjadi sandaran masyarakat. Malah golongan teologi dipandang sinis oleh golongan pemikir kerana mengangap mereka ketinggalan zaman dan tidak progresif.

Pengaruh Pencerahan
Kejayaan pencerahan di Eropah telah menyebabkan ia menular keseluruh pelusuk dunia termasuk ke Amerika Syarikat, malah dalam dunia islam pun turut terasa tempiasnya sehingga ke hari ini, apabila banyak perbincangan diadakan untuk mengajak umat islam agar berfikiran lebih terbuka dan menilai kembali strategi dalam mewujudkan pemerintahan dan sistem sosial masyarakat.

Perubahan-perubahan besar di abad pencerahan, telah menyebabkan ia berkembang secara revolusioner sepanjang abad ke-18 . Dengan cepat sistem struktur masyarakat lama digantikan dengan struktur yang lebih baru. Perkara ini terlihat jelas terutama dalam revolusi Amerika, revolusi industri, dan revolusi Perancis. Permulaaan yang dimulakan oleh ketiga-tiga revolusi ini menyebabkan pengaruhnya berkembang di seluruh dunia.


Para ilmuwan bangsawan tergugat, mereka mulai menyedari pentingnya menganalisis perubahan dalam masyarakat.Perubahan yang terjadi akibat berlakunya revolusi benar-benar telah merubah pemikiran. Struktur masyarakat yang sudah berlaku ratusan tahun dianggap telah ketinggaan. Bangsawan dan golongan gereja/agama yang dulunya mempunyai harta dan kekuasaan, disamaratakan haknya dengan rakyat jelata. Raja yang dulu berkuasa penuh, kini hanya memimpin berdasarkan undang-undang yang di tetapkan. Pada masa itu juga banyak kerajaan-kerajaan besar di Eropah telah jatuh dan terpecah.


Pengaruh ke Dunia Islam
Kejayaan Martin Luther dalam membawa idea reformasi agama telah menyebabkan ia dikagumi oleh para pemikir dan intelektual, kejayaan idea tersebut telah menyebabkan orang kristian dan dunia barat dapat menguasai dunia sehingga ke hari ini. Tatkala barat mengalami kemodenan dan meguasai pelbagai wilayah, empayar Kekuasaan islam mula berakhir dan runtuh apabila sistem pemerintahan Khalifah berakhir di Turki, dan orang islam yang pernah menguasai dunia suatu ketika dulu tertinggal di belakang sehingga ke hari ini.






Idea pencerahan tersebut juga telah menyebabkan wujud persepsi dikalangan orang islam supaya orang islam melakukan perkara sama terhadap tafsiran agama, dan mereka biasanya akan mengadakan pelbagai forum berbentuk Forum Muslim Profesional, mereka ini menyeru supaya diadakan perubahan atau pembaharuan, seolah-olah ingin melaksanakan seperti apa yang dilakukan oleh Martin Luther, antara contoh forum yang mempunyai idea seperti ini ialah Sidang Dunia Islam_US, Doha Qatar, 2009, dan juga Minaret of Freedom Institute.


Terpengaruh dengan idea pencerahan dari barat, di Malaysia hari ini khususnya masyarakat islam yang berfikiran Liberal mereka mempunyai tanggapan golongan agama seperti Mufti dan Ulama merupakan golongan tidak berfikiran terbuka dan mempunyai pandangan yang sempit. Jesteru golongan ini giat mengadakan siri dialog dan seminar bagi meluaskan pemikiran mereka kepada umum.


Tiada ulasan: