08 Oktober 2009

Anwar Atarturk : Melawan arus barat





Albert Einstein pernah berkata, adalah mudah untuk memisahkan atom daripada memecahkan sikap prejudis.Sikap prejudis itu yang telah berakar umbi dalam jiwa masyarakat Barat ialah berkaitan Islam dengan keganasan. Asas kepada segala sikap prejudis mereka itu ialah kepercayaan bahawa Islam dikembangkan menggunakan pedang.Ini bermaksud, manusia diancam bunuh melainkan mereka memeluk agama tersebut, tetapi sangat sedikit bukti sejarah untuk menyokong dakwaan tersebut.

Adalah benar pemerintah dan jeneral Islam menakluk wilayah, tetapi kebiasaannya wilayah yang ditakluk itu dibenarkan untuk kekal dalam agama atau kepercayaan mereka. Hakikatnya, ‘‘sehingga pertengahan abad kelapan’’, sebagaimana yang digambarkan oleh penulis British, Karen Armstrong, ‘‘Yahudi dan Kristian di bawah empayar Islam tidak digalakkan bertukar kepada Islam, sebagaimana ajaran al-Quran, mereka menerima wahyu mereka sendiri.’’

Dalam banyak keadaan, hanya selepas pemerintahan politik berjaya diwujudkan maka orang ramai secara sukarela menerima agama pemerintah baru mereka. Keadaan ini hampir berlaku pada kebanyakan agama. Selepas maharaja Asoka menjadi penganut Buddha, berlaku kemasukan secara beramai-ramai ke dalam agama barunya itu.Dalam kes Islam, perdagangan turut memainkan peranan penting dalam penyebaran agama tersebut terutama antara abad kelapan dan ke-15. Para pedagang turut memainkan peranan sebagai pendakwah.

Sesetengah ahli sejarah mendapati, kejujuran dan integriti para peniaga terbabit telah menarik ramai orang kepada agama mereka. Di Asia Tenggara, Timur dan Barat Afrika, perdagangan mungkin merupakan saluran paling berkesan bagi mengembangkan agama.Dan faktor paling berpengaruh dalam mengembang agama Islam sudah tentu tasawuf Islam atau Sufisme.

Merentasi Afrika Utara dan Asia Tengah, dan beberapa wilayah di benua India serta kebanyakan bahagian di Asia Tenggara, pengaruh pendakwah Sufi dengan mesej kebaikan dan penuh belas kasihan daripada al-Quran telah memberi kesan sangat besar kepada budaya masyarakat yang pelbagai. Termasuk hari ini, Sufisme dengan penekanannya terhadap penyatuan universal terus menarik sebahagian besar masyarakat bukan Islam di Amerika Utara dan Eropah.

Mungkin juga, selain pengaruh di atas, persekitaran sosiopolitik dan sosioekonomi yang diamalkan di beberapa kawasan di dunia ini sejurus selepas Islam muncul, menjelaskan perkembangannya secara pesat dan dramatik. Dengan strukturnya didominasi oleh golongan hierarki dan bersifat menindas, keadilan yang boleh ditawarkan Islam justeru disifatkan satu nafas baru. Sebagaimana yang diungkapkan oleh H.G. Wells,

‘‘Islam wujud sebab ia merupakan peraturan terbaik untuk sosial dan politik. Ia wujud sebab di mana sahaja terdapat politik acuh tak acuh, rompakan, penindasan, buli, dan kerajaan yang bersifat pentingkan diri serta tidak boleh disentuh oleh sesiapa. Islam menjadikan politik itu berkembang, bersih dan segar serta keadaan lebih baik, sesuatu yang tidak mampu ditawarkan oleh mana-mana pihak demi kebaikan manusia sejagat.’’

Apa yang ditawarkan oleh Islam itu menyaksikan apabila orang Islam menakluki satu-satu wilayah, maka mereka yang ditakluk akhirnya akan menerima agama si penakluk. Oleh sebab itu, Hulagu, pemerintah Mongol yang menakluki Baghdad pada abad ke-13, memilih untuk memeluk Islam. Mengambil kira perkembangan itu, maka penyebaran Islam pada hari ini berlaku dengan cepat di mana masyarakat Islam adalah golongan minoriti seperti Amerika Utara dan Eropah-bukannya di negara-negara umat Islam adalah majoriti dan memiliki kuasa.
Semua ini menunjukkan bahawa dakwaan ‘Islam berkembang menggunakan pedang’ adalah tuduhan liar dan memaksud jahat. Sebelum kita menilai motif tersebut, adalah perlu ditekankan bahawa al-Quran mungkin satu-satunya kitab yang melarang ada paksaan dalam agama (Surah al-Baqarah: 256). Ia juga menunjukkan kebebasan beragama sebagaimana disebut dalam satu ayat, ‘‘Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.’’ (Surah Kafirun: 6).

Oleh sebab itu, semasa empayar Uthmaniah, sekiranya umat Islam memaksa penganut Kristian atau Yahudi memeluk Islam, mereka boleh dibunuh.Jika inilah teori dan amalannya bagaimana Islam itu berkembang, kenapa penipuan mengenai pedang dan keganasan berterusan untuk jangka masa yang begitu panjang? Golongan elit di Barat sejak beberapa dekad lalu yang sangat berpengaruh di kalangan masyarakat sejagat, telah berjaya mengetepikan kesalahan besar mereka atas tuduhan tersebut, apabila mengaitkan seteru mereka dengan peperangan, penaklukan dan penindasan.

Sebaliknya, musuh mereka menjadi contoh unggul dan terjelma bagi keganasan mereka sendiri. Islam dan umat Islam – sentiasa menerima akibat perbuatan pihak Barat – yang berjaya mengalihkan rasa bersalah itu.Tiada contoh terbaik tentang perkara ini selain daripada Perang Salib yang direstui oleh Pope. Apabila para salibi menawan Baitulmaqdis atau Al-Quds pada 1099, mereka membunuh 30,000 orang Islam dan Yahudi.

Bandingkan keadaan itu dengan tindakan Saladin apabila beliau menawan semula Baitulmaqdis pada 1187. Beliau bukan sahaja melindungi masyarakat Kristian bersama-sama Yahudi tetapi juga rumah-rumah ibadat mereka.Bagaimanapun, dalam kesusasteraan Kristian, umat Islam digambarkan sebagai pejuang yang dahagakan darah dan memulakan ‘perang suci’. Kebenarannya ialah, ‘perang suci’ sama sekali tiada dalam kamus Islam. Sebagaimana dinyatakan oleh ahli falsafah Austria, Hans Koechler, ‘perang suci’ adalah terjemahan istilah Latin bellum sanctum yang digunakan untuk menggambarkan ‘perang salib’ menentang ‘Saracens’ pada Zaman Pertengahan; dan gerakan itu merupakan sebahagian daripada doktrin Gereja Roman-Katolik sejak berabad lamanya.

Perang Salib itu juga tidak lebih daripada perang ganas dan penaklukan oleh pihak elit Barat. Ini kerana, berlaku menyembelihan mungkin 30 juta orang tidak berdosa di Amerika dan Australasia; dasar penjajahan Barat yang meragut sekurang-kurangnya 40 juta nyawa; terdapat perdagangan hamba abdi yang meragut kebebasan 25 juta jiwa; dan keganasan Apartheid di Selatan Afrika yang menelanjangkan maruah kemanusiaan. Adalah menyedihkan apabila di setiap episod itu pihak gereja sedikit sebanyak turut memainkan peranan.
Pada masa yang sama, terdapat tokoh-tokoh Kristian yang menyuarakan penentangan ke atas jenayah peperangan atas nama mereka.Jika ramai yang tidak mengetahui tentang kebenaran keganasan membabitkan puak elit Barat pada masa lampau, begitu juga masyarakat sekarang tidak menyedari keganasan yang dilakukan oleh kuasa yang berpusat di Barat. Kekejaman yang dilakukan oleh mesin-mesin perang Barat di Iraq atau jenayah sangat kejam ke atas penduduk Palestin atau Lebanon yang membangkitkan kemarahan dunia Arab ke atas Israel dan turut dikutuk oleh media-media perdana, di sebalik kekecewaan serangan bom berani mati.

Ia sekali lagi mendedahkan bagaimana kuasa besar berjaya menyembunyikan tindakan ganas mereka semata-mata demi minyak dan tanah dengan memindahkan kesalahan itu ke atas orang lain.Keganasan ke atas umat Islam apabila Amerika Syarikat menakluk Iraq, atau Israel menduduki Palestin sering berlaku. Keganasan itu adalah bukti ‘tendensi umat Islam mangsa keganasan’. Adalah tidak adil dan tidak bermoral untuk menyamakan mangsa keganasan dengan mereka yang dijadikan mangsa.

Bagaimanapun, dalam soal bertindak balas kepada tekanan dan penaklukan musuh, tidak dinafikan masyarakat Islam turut terlibat dalam perlakuan ganas. Dalam keganasan total, mereka membunuh orang yang tidak berdosa, dan ia bertentangan dengan prinsip Islam. Perbuatan pengecut mereka itu hanya menguatkan lagi pandangan stereotaip dan prejudis tentang umat Islam dan keganasan.


* Oleh Chandra Muzafar

1 ulasan:

halim tuah berkata...

mendedahkan bahawa dalam satu pertemuan di London pada sebelum 16 September 2008, Dr Yusof Qardawi telah menegaskan kpd TG Hadi Awang mengenai kesangsiannya terhadap Anwar Ibrahim, terutamanya apabila Rand Corporation & Smith Richardson Foundation mengesahkan penglibatan Anwar Ibrahim dlm strategi Amerika merosakkan Islam dgn tajaan dana Yahudi! Selepas itu, ramai dari kalangan pemimpin erdogan PAS, iaitu seperti Dr Hassan Ali, Dr Haron Din & Nasaruddin Mat Isa telah beralih arah berpaling tadah dari menyokong Anwar Ibrahim!

http://www.youtube.com/watch?v=PRzYG9vJXAQ

http://www.youtube.com/watch?v=D8Dw3Pv1Lbc

http://www.youtube.com/watch?v=LtRlJNbS_Ec