10 Disember 2009

Anwar Atarturk : Anwar dalangi tindakkan Nga Kor Meng pertikai masjid?


Nga Kor Meng dalam sesi perbahasan di Parlimen telah membangkitkan perbelanjaan pembinaan sebanyak 611 Masjid oleh pihak kerajaan sebanyak RM748.26 dalam tempoh lapan tahun hingga 2008. Pertanyaan dan sikap Nga Kor Meng ini di Dewan Rakyat seolah menunjukkan DAP sebenarnya tidak pernah mengiktiraf kedudukkan Islam di sisi Perlembagaan Malaysia.

Sebelum itu wakil rakyat DAP M.Kulasegaran juga ada membuat kenyataan yang mempertikaikan hak orang Melayu. Adalah jelas disini pihak yang sebenarnya ingin bermain api perkauman adalah pihak DAP kerana tindakkan beliau jelas menghina perlembagaan negara.

Orang Melayu Islam di Malaysia tidak pernah mempertikaikan pembinaan kuil dan rumah ibadat kaum lain di Malaysia sekiranya didirikan mengikut syarat ditetapkan, malah perayaan agama lain pun diangkat menjadi perayaan nasional, kalau tidak kenapa sambutan Thaipusam di Malaysia lebih meriah berbanding sambutan Thaipusam di benua India.

Walaupun DAP seringkali mengatakan mereka adalah parti berbilang kaum dan memperjuangkan semua rakyat Malaysia, hakikat yang jelas mereka sebenarnya lebih perkauman. Semenjak kejayaan besar DAP sewaktu pilihanraya 2008 telah wujud pelbagai kekecohan yang dilakukan oleh DAP sehingga menguris hati umat islam di Malaysia. Dari menuduh islam adalah ekstremis hinggalah menghina pendakwah islam Dr. Ridzuan Tee Abdullah sekeluarga dengan kata makian yang tidak sewajarnya.

PAS sering mendakwa hubungan yang terjalin antara parti tersebut dengan DAP adalah hubungan tahaluf siasi iaitu hubungan yang tidak wala kepada DAP, bagi mengelakkan umat islam menyalahkan PAS apabila DAP mencetuskan isu. Tetapi Parti Islam tersebut lupa bahawa mereka sanggup menolak ikatan perpaduan dari umat islam lain demi memeluk kawan yang sudah jelas tidak sukakan islam tersebut.

Dalam perkembangan lain difahamkan gabungan longgar Pakatan Rakyat akan mula didaftarkan secara rasmi sebagai gabungan sah untuk mewujudkan sistem dwi parti sewaktu pilihanraya umum di Malaysia.

Langkah pembentukkan hubungan rasmi ini seperti yang digerakkan oleh Zaid Ibrahim menandakan PAS dan DAP selepas ini akan berjuang atas satu bendera yang sama dan mempunyai hati yang sama, dan selepas ini mungkin boleh kita katakan PAS akan wala bersama DAP dalam satu ikatan.

Namun sejauh mana PAS dapat mengawal DAP dari melakukan tindakan yang boleh menjatuhkan imej islam akan dipersoalkan, sedangkan semakin hari semakin banyak DAP mempertikaikan ruh islam di Malaysia.

Demi meraih sokongan bukan Melayu juga PAS mula mengatakan hak istimewa tiada di dalam islam, sedangkan di zaman khalifah Ar-Rashidin dahulu hak istimewa ada dipergunakan sebagai hujah oleh Khalifah untuk menjaga kebajikan penduduk tempatan di Parsi.

Senario hari ini jika diperhatikan PAS seolah dilihat gagal menjaga tabiat nakal sekutu politiknya, berbanding dengan UMNO yang berjaya mengawal MCA dan MIC melalui persetiaan kontrak sosial yang dilihat berjaya menjamin kedudukan agama islam ditempat sewajarnya.

Dengan lenggok DAP yang terus menyerang dan memperlekeh kedudukan islam ini, adalah suatu yang mustahil PAS dapat mengawal tingkahlaku DAP nanti. Ditambah pula dengan sikap tunjang Pakatan Rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lebih condong kepada pemikiran yang ada pada DAP.

Malah ketua Pakatan rakyat sendiri iaitu Anwar Ibrahim secara terbuka menyokong apa sahaja tuntutan-tuntutan Interfaith Commission ( IFC ). IFC atau nama asalnya adalah IRC - Inter Religous Council (IRC) merupakan sebuah badan yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama (baca: agama Islam) akibat desakan penganut agama lain.

Badan ini berfungsi mirip seperti sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang bersabit. IFC juga dikatakan akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama.

IFC ini digagaskan penubuhannya oleh Malaysian Consultative Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) atau pun Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh melalui memorandumnya kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos, 2001. Presiden MCCBCHS ialah V. Harcharan Singh. Selain itu tunjang lain yang menggerakan IFC ialah tokoh yang berada didalam PKR dan DAP seperti Sivarasa Rasiah, Elizabeth Wong, Teresa Kok dan Tian Chua.

Disebabkan Zulkifli Nordin menyertai bantahan terhadap penubuhan badan ini, ahli Parlimen Kulim ini telah diminta pelbagai pihak dalam PKR supaya memberi surat tunjuk sebab kepada pucuk pimpinan PKR, di sini adalah jelas menunjukkan Anwar sanggup mengenepikan kedudukan islam demi meraih sokongan, jesteru itu apa yang boleh diharapkan umat islam kepada PKR.

Sekiranya keputusan pilihanraya umum ke 13 akan datang Pakatan Rakyat yang menang, berapakah agaknya kerusi yang akan dimenangi PAS untuk mendaulatkan islam? Sewaktu pilihanraya ke 12, PAS dikatakan hanya bertanding hanya sekitar 60 kerusi sahaja dengan kebanyakkan yang dilawan adalah kerusi yang dimiliki oleh UMNO . Dengan kekuatan yang ada sekarang PAS tidak mungkin akan memenangi kesemua kerusi tersebut dan mungkin hanya separuh sahaja yang dimenangi.

Sementara itu DAP mungkin akan memenangi dengan lebih banyak lagi kerusi pilihanraya berbanding 28 yang diperolehi sewaktu PRU 12 memandangkan mereka bertanding dikawasan pengundi majoriti bukan Melayu. Dengan kedudukan parti MCA dan MIC yang masih lagi lemah dan berpecah tidak mustahil bilangan kerusi DAP akan lebih banyak.

PKR yang banyak memenangi kerusi di kawasan campuran sewaktu PRU12 sebelum ini juga dijangka akan menambahkan bilangan kerusi jika berdasarkan sentimen perkauman yang dimainkan DAP hari ini masih berkekalan. Dari 31 kerusi Parlimen tidak mustahil ia akan melonjak kepada 60 kerusi.

Dari sini kita dapati suara umat islam dari PAS hanya sekitar 30 hingga 35 kerusi sahaja dan dijangka kerusi dari PKR dan DAP antara 80 hingga 90 kerusi untuk mencukupi majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Dengan kerajaan yang dipimpin oleh PKR dan DAP yang sehingga kini lebih cenderung kearah hak kesamarataan dan kebebasan agama, sejauh mana suara orang islam akan kedengaran akan dipersoalkan. Dengan kata mudah IFC mungkin akan segera ditubuhkan sekiranya Pakatan Rakyat memerintah kerana PKR dan DAP akan bersetuju dengan penubuhan badan tersebut.

Jika kita mengambil contoh apa yang berlaku di Indonesia hari ini nasib Parti islam seolah melukut di tepi gantang kepada kabinet Susilo Bambang Yudhoyono, selain dinafikan jawatan naib Presiden dan Speaker dewan Perwakilan. Berdasarkan situasi ini adalah tidak mustahil apa yang berlaku di sana berlaku kepada PAS di Malaysia berdasarkan senario hari ini.

Itu di Indonesia di Selangor lokasi paling terdekat untuk melihat koalisi pemerintahan Pakatan Rakyat jelas menunjukkan mereka telah memperlekehkan peranan dan kedudukan umat islam. Dahulunya dibawah UMNO dan BN umat islam dipilih menduduki kerusi Speaker dan exco kanan dalam pentadbiran. Namun perpecahan umat islam menyebabkan suara umat islam tidaklah sekuat mana malah hanya layak menjaga masjid dan surau sahaja.

Jika ini yang berlaku adakah berbaloi umat islam memilih untuk menyokong Pakatan Rakyat pada masa pilihanraya akan datang? tepuk dada tanya akal...




Tiada ulasan: