17 Mei 2009

Memahami pemikiran Anwar-mazhab mana yang dipilih?


Secara kebetulan sejak dahulu sehingga sekarang kebanyakkan tokoh yang terpengaruh dengan agenda pembaharuan seperti islam Liberal ini mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak barat.

Islam Inklusif secara logiknya akan mengakui kebenaran agama lain selain daripada Islam. Terma yang digunakan oleh golongan Islam Liberal ini menggunakan pendekatan untuk menyamakan agama lain dengan agama Islam, kerana agama lain turut dikatakan menganjurkan amalan yang baik dan benar.

Terma Inklusif sebenarnya menyamai konsep pragmatisme akhlak yang telah dipopularkan oleh John Dewey di Amerika Syarikat. Dalam konsep pragmatisme, kebenaran mutlak tidak ada menyebabkan setiap sesuatu tidak bersifat eksklusif. Dalam konteks mudah ia seakan mengarahkan umat Islam mengakui kebenaran agama lain sehingga boleh menyebabkan umat Islam berada pada tahap murtad.

Di Malaysia, usaha golongan kelompok ini dapat dilihat dari segi idea, penulisan karya, percakapan dan kelakuan seseorang atau organisasi. Mereka seboleh mungkin cuba menampakkan diri mereka terpisah tetapi mereka mempunyai jaringan dalam kelompok sendiri yang hanya diketahui oleh kelompok mereka sahaja. Dengan menjadikan pendekatan sederhana kelompok ini seringkali mengelirukan masyarakat islam di Malaysia.

Fahaman ini juga dikatakan melihat pandangan hidup Islam yang berpandukan beberapa dasar seperti konsep tuhan, kenabian, ilmu dan agama yang diletakkan sebagai objek yang membingungkan dan perlu diperdebatkan.

Sebenarnya ini semua adalah permainan barat yang sengaja mencipta pelbagai terma untuk meletakkan Dunia Islam dalam aneka perangkap mereka dengan penciptaan pelbagai istilah seperti Islam tradisional vs moden, Islam sederhana vs fundamentalis, Islam legalistik/formalistik vs substantif normatif, Islam budaya vs struktural serta Islam inklusif vs eksklusif.

Untuk mengelirukan kelompok islam juga, Barat dengan sengaja melontarkan pelbagai istilah dan pemikiran dengan aliran politik dan ideologi serta melakukan permainan istilah yang berbahaya dan asing seperti Islam Liberal, Islam Moderate dan Pluralisme Islam dengan maksud mendatangkan keraguan umat Islam terhadap ajaran asal agama yang dianuti. Ini dilakukan semata-mata kerana barat bimbang sekiranya umat islam bangkit menerusi ideologi Islam sebenar seperti yang telah dilakukan oleh tamadun islam sebelum ini seperti kewujudan kerajaan Abbasiyah, kerajaan Cordova dan juga kerajaan Bani Uthmaniyah, akan menyebabkan barat kembali berada di dalam kegelapan atau kemunduran.

Profesor Sosiologi agama di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat, Charles Kurzman telah memperkenalkan istilah atau gerakan baru di Dunia Islam ini menerusi bukunya ‘Islamic Liberalism’ dan sebelum itu Leonard Binder cuba menyebarkan fahaman berkenaan dalam bukunya Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies.

Secara ringkas, aliran islam seupama ‘mazhab’ ini berakar umbi kepada fahaman kebebasan tanpa batasan bagi membolehkan akal manusia digunakan secara sebebas-bebasnya untuk memberi jawapan dan persoalan kepada semua perkara tanpa merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Pada kelompok ini tafsiran terhadap Al-Quran perlu dilakukan semula kerana mereka mengangap tafsiran lama sudah tidak relevan dalam keadaan persekitaran umat islam hari ini.

Pengarah Eksekutif Institut Kajian Pemikiran dan Tamadun Islam Indonesia (INSISTS), Adnin Armas, ketika membentangkan kertas kerja ‘Sumber Liberalisasi Pemikiran Islam: di Ipoh pada tahun 2006, Kes al-Quran’ dalam muzakarah itu, berkata pengikut fahaman berkenaan kini semakin berani mencabar akidah umat Islam dengan menyarankan agar al-Quran disunting semula dan disusun menjadi sebuah kitab baru dikenali al-Quran edisi kritis (a critical edition of the Quran) kerana mendakwa terdapat banyak kelemahan dalam isi kandungannya.

Katanya, golongan berkenaan yang sebahagiannya memiliki latar belakang pendidikan agama mula mengemukakan gagasan supaya al-Quran diolah semula pada 2002 di Indonesia sehingga sanggup mengeluarkan ungkapan antara lain: “Hakikat dan sejarah penulisan al-Quran sendiri sesungguhnya penuh dengan berbagai-bagai nuansa yang delicate (rumit), dan tidak sunyi daripada perdebatan, pertentangan, intrik dan rekayasa (direka-reka).”

Adnin berkata, fenomena itu adalah kes baru kerana ketika penjajahan Belanda, Inggeris dan Jepun di Indonesia sekalipun perkara seperti itu tidak pernah berlaku. Malah, beliau berpendapat pemikiran yang mengkritik al-Quran itu datangnya dari pengaruh pandangan hidup Yahudi-Kristian.

Katanya, dengan menggunakan tafsiran baru kepada sumber dalaman tradisi Islam, golongan orientalis membangunkan teori baru yang bukan saja berbeza tetapi bertentangan dengan pendapat golongan ulama besar silam hingga sekarang.

Malangnya, kata beliau, ramai pemikir Islam terpengaruh dengan pemikiran itu sehingga pelbagai kritikan telah dilontarkan terhadap kitab suci itu terutama dalam mempertikaikan mushaf Uthmani yang digunakan sekarang dianggap sebagai tidak asli.

“Untuk menangani persoalan berkenaan, sudah tiba masanya bagi golongan ulama meneliti karya orientalis ini secara serius. Menerusi tindakan membongkar akar pemikiran sekular-liberal, diharapkan ranting pemikir Islam yang sudah terpengaruh dengan kerangka pemikiran Barat akan dengan sendirinya roboh,” katanya.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang bersidang dalam Musyawarah Nasional (Munas) Kali Ketujuh pula telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran Ahmadiyyah, liberalisme dan pluralisme sebagai ajaran sesat. Sejak itu, pengikut fahaman liberalisme dan pluralisme telah melakukan pelbagai cacian dan tentangan terhadap MUI dan golongan ulama.

Dalam sejarah tamadun Islam, ramai tokoh di kalangan umat Islam telah mengeluarkan hujah atas nama ‘mengeluarkan umat Islam dari kemunduran’ dengan bercakap atau melakukan perbuatan yang melanggar syariat seperti Ziya Gokalp (1875-1924) di Turki yang menyarankan agar orang Turki bersolat menggunakan bahasa Turki agar mereka berasakan jiwa lebih dekat dengan Tuhan serta menganggap hukum Islam hanya bersumberkan nas al-Quran dan adat kebiasaan (urf) masyarakat di sesuatu tempat.

Begitu juga dengan pemerintah Islam Moghul di India, Akbar Khan atau ‘Akbar Agung’ yang telah mencipta agama Din Ilahi dengan menyatukan semua agama atas alasan untuk mengelakkan perpecahan masyarakat yang pelbagai kaum dan agama. Pendekatan yang seumpama membawa maksud agama lain juga benar ini telah menyebabkan Islam setaraf dengan agama lain. Malah Akbar juga telah bertindak mengahwini puteri raja Hindu dan membenarkan cucunya dibaptis oleh paderi kristian untuk menunjukkan dasar keterbukaan dirinya terhadap agama lain. Beliau juga telah mendirikan rumah pelacuran berhampiran istananya dengan tujuan untuk melayan kehendak nafsunya, selain pelacur perempuan rumah pelacuran itu juga turut mempunyai pelacur lelaki. Walaupun beliau mengakui dirinya adalah seorang Islam.

Begitu juga dengan Abdul Rahman Al-Kawakibi tokoh pembaharuan agama di Mesir, merupakan pelopor kepada gerakan nasionalis dan patriotisme Arab sewaktu Sultan Abdul Hamid sedang memerintah kerajaan Uthmaniyah Turki. Beliau terpengaruh dengan sistem pemerintahan demokrasi di eropah dan berpendapat bahawa masalah membentuk kerajaan merupakan masalah asasi kepada manusia dan beliau menyeru agar Negara-negara di Timur agar menuruti jalan Demokrasi yang telah dilakukan oleh barat. Abdul Rahman juga tidak mengiktiraf kewujudan dua kekuasaan kepada ketua kerajaan ialam iaitu kuasa agama dan kuasa politik (sivil) kerana pada beliau agama dan politik seharusnya berasingan. Bagi tokoh kontroversi ini juga agama adalah apa yang dianuti oleh seseorang peribadi dan bukannya apa yang dianuti oleh semua orang.


Secara kebetulan, kebanyakkan besar tokoh atau mereka yang cuba memajukan ummah dari kemunduran akibat fahaman sempit mereka terhadap Islam selalunya akan mendapat sokongan atau menerima bantuan daripada pertubuhan atau negara Barat. Keadaan ini berlaku sejak dari zaman penjajahan Barat di negara Islam sehingga sekarang.

Di Malaysia tokoh yang selalu mempromosi agenda perubahan ini ialah Anwar Ibrahim dan secara kebetulan dia juga amat rapat dengan pihak barat, adakah Anwar juga merupakan salah seorang kelompok Islam Liberal? kerana kita mengetahui rakan baiknya di Indonesia iaitu Abdul Rahman Wahid atau Gus Dur juga merupakan tokoh yang menggerakan Islam Liberal dan Pluralisme, keterbukaan beliau dan Inklusif dirinya dibuktikan dengan dirinya sanggup dibaptiskan oleh paderi kristian di Indonesia dan digelar bapak Pluralisme di Indonesia.
Seharusnya umat Islam berhati-hati dengan serangan pemikiran ini kerana golongan yang menyokong gerakan pemikiran ini tidak pernah henti untuk menyebarkan idea mereka semenjak daripada zaman silam sehingga sekarang dan sentiasa kekal dalam pemikiran tersebut.

Walaupun gerakan pemikiran ini menggunakan terma-terma yang pelbagai untuk mengelirukan pergerakan dan pemikiran mereka, namun secara kasarnya kita akan dapat melihat corak yang biasa mereka gunakan untuk mempopularkan idea mereka. Contohnya memperjuangkan hak kebebasan, kesamarataan dan memperjuangkan hak perempuan. Selain itu mereka juga akan mempromosi slogan demokrasi dengan harapan mereka diberi ruang untuk menyebarkan pemikiran mereka. Sebab itu sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Hamid, golongan ini menganggap Sultan tersebut adalah kuku besi kerana cuba menghalang gerakan pembaratan pada zaman Uthmaniyah.

Kini slogan itu sudah meresap ke Malaysia dengan menjadikan demokrasi, kebebasan akhbar dan kebebasan beragama sebagai agenda, adakah Malaysia akan menjadi senasib empayar Uthamaniyah Turki selepas ini atau menjadi seperti Indonesia yang sudah seperti tidak dapat dikawal perkembangan aliran pemikiran ini disana selepas era orde baru.

16 Mei 2009

Ihwan Muslimin menolak berjumpa dengan Vatican

Vatican, sebagai badan tertinggi umat Katolik, mengajak Ikhwanul MUslimin mengadakan dialog. Belajar dari beberapa pertemuan sebelumnya, Ikhwanul Muslimin menolaknya dengan tegas.


Bercakap tentang hal ini, Dr. Abdul Mun'im Abul Futuh, salah seorang pemimpin Ikhwan memberikan tanggapannya. “Ikhwan selalu membuka dialog dengan semua golongan, tapi saya fikir dialog dengan Vatican tidak akan pernah memberikan hasil yang konkrit!” ujarnya tegas.
Beliau merujuk kepada beberapa pertemuan yang pernah dilaksanakan sebelumnya.

Beliau merujuk kepada beberapa pertemuan yang pernah dilaksanakan sebelumnya.
Vatican tidak pernah punya niat baik dalam setiap dialog itu. Mereka sama sekali tidak memerhatikan tiga hal yang harus dihormati sebagai adab dialog itu sendiri. “Pertama, mereka tidak pernah mempunyai kepercayaan kepada Islam. Bagaimana mungkin, orang yang tidak pernah mahu mengerti dan mempelajari Islam, mengajak berbincang? Dalam hal ini, apapun bentuk dialognya akan menjadi sia-sia!”

“Hal kedua yang yang selalu dilanggar oleh Vatican adalah, dialog dengan mereka selalu saja tentang kepercayaan.” Tambah Abul Futuh, “Dalam hal ini, tak ada lagi yang perlu didiskusikan, Islam mempunyai prinsip yangan jelas tentang bagaimana menyembah Allah swt.”

Dan yang ketiga, menurut Abul Futuh, dialog dengan Vatican tidak pernah menghasilkan kesepakatan apa-apa. Padahal, masih menurut pendapatnya, kesepakatan akan sesuatu dalam sebuah dialog adalah tujuan utamanya. “Ikhwan mengambil berat banyak hal. Ketika kita berdialog, kami ingin membincangkan situasi Afghanistan, Iraq ataupun Palestin, ataupun cara menghentikan peperangan dan kelaparan di seluruh dunia.”



10 Mei 2009

bolehkah Singapura dipercayai?


Tiba-tiba berita penangkapan Mas Selamat Kastari heboh diperkatakan, pihak yang memulakannya adalah akhbar Strait Times Singapura, kemudian baru diikuti oleh kebanyakkan akhbar lain termasuk di Malaysia, selepas penyiaran berita tersebut tiba-tiba International Crisis group (ICG) mengeluarkan kenyataan seolah-olah Johor tidak selamat begitu juga akhbar di Singapura turut menulis artikel yang hampir sama klik sini dan sini. Walaupun pihak berkuasa Malaysia cuba merahsiakan tangkapan ini, tetapi pihak Singapura beria-ia menghebahkannya tanpa memikirkan alasan yang diberikan Malaysia.


Pihak berkuasa Malaysia seboleh mungkin ingin merahsiakan tangkapan Mas Selamat ini, kerana ingin menjejaki sekiranya masih terdapat saki baki rangkaian yang membantu Mas Selamat, dan ini dinyatakan sendiri Datuk Seri Najib kepada pihak Singapura sebelum ini. Namun akhbar Singapura membongkarkannya apabila mengetahui hal tersebut. Alasan yang diberikan ialah orang Singapura terlalu teruja ingin mengetahui kes tersebut.


Dalam hal ini bolehkah kita percayakan Singapura sebagai jiran terdekat kita, sekiranya perkara sekecil itu pun begitu mudah dipersebarkan, apatah lagi perkara lain. Saat ini akhbar disana masih mewawarkan berita bahawa kecekapan maklumat pihak merekalah yang menyebabkan pihak berkuasa Malaysia dapat menangkap Mas Selamat. Malah tidak banyak pun akhbar disana memberi penghargaan yang tinggi kepada pihak berkuasa Malaysia, inilah sikap hipokrit media negara pulau tersebut. Seolah-olah kejayaan penangkapan Mas Selamat disebabkan maklumat yang diberikan mereka, tetapi mereka lupa bahawa peralatan canggih mereka lah yang menyebabkan Mas Selamat mampu bolos dari penjara hebat mereka.





Sidney Jones merupakan antara orang yang membela Anwar dan mengkritik kerajaan Malaysia apabila Anwar Ibrahim ditahan pihak berkuasa malaysia pada tahun 1998.



Sementara itu apa sebenarnya yang menyebabkan ICJ melalui Sidney Jones mengatakan bahawa pengaruh dan rangkaian JI di Malaysia serta Johor masih kuat. klik sini dan sini. Barangkali ada motif lain yang membuatkan Sidney berkata demikian, sebagai makluman selain mengangotai ICG Sidney juga turut mengetuai pusat hak asasi manusia di Asia dan mempunyai hubungan yang baik dengan Anwar Ibrahim, malah saat Anwar ditahan kerana pelbagai tuduhan pada tahun 1998, beliau turut sama terlibat mengkritik tindakan kerajaan Malaysia dan turut bersama berkempen untuk membebaskan Anwar.


Mungkinkah kenyataan Sidney itu hanya ingin membikinkan ribut dalam politik Malaysia khususnya di Johor, kerana umum tau Johor merupakan kubu kuat UMNO dan BN. Ketidakstabilan politik dan keselamatan dinegeri tersebut akan memberi kesan yang besar kepada pengaruh Anwar dan pembangkang. Ada kemungkinan juga Anwar yang juga turut terlibat sama dengan ICG turut sengaja meminta Sidney mengeluarkan kenyataan demikian bagi merendahkan lagi imej kerajaan Malaysia dimata masyarakat dunia dan memalukan Perdana Menteri.


Sebenarnya seperti yang dikatakan pihak berkuasa Malaysia, Malaysia bukanlah sasaran utama kumpulan Jamaah Islamiyah lantaran itu persolan penganas wujud di johor tidak timbul kerana Singapura merupakan target kumpulan tersebut. Seharusnya Singapura tanya pada diri sendiri kenapa penganas menjadikan mereka sasaran dan bukan bermain silap mata mengaibkan Malaysia sebagai pusat pengganas. Singapura pada hari ini tidak ubah seperti mata dan telinga kepada Amerika dan Israel, polisi mereka tidak ubah seperti Israel di Timur Tengah, mungkin ini yang menyebabkan Singapura menjadi sasaran Jamaah Islamiyah. klik sini.





Dalam kekalutan politik dalaman Malaysia kini, tindakan ICG tersebut seolah-olah cuba menjadi nasi tambah lagi bagi menambah tekanan buat pentadbiran kerajaan, dimana kewarasan badan tersebut untuk membantu menyelesaikan konflik, kerana tindak tanduk ICG tidak ubah seperti ingin memulakan konflik lain yang menguntungkan kuasa lain.Inilah hipokritnya badan tersebut, tidak salah jika kita katakan kemungkinan tangan merekalah yang menyebabkan munculnya sabotaj oleh puak baju kuning di Thailand sehingga persidanggan Asean di Pataya terpaksa dibatalkan beberapa bulan yang lepas.















08 Mei 2009

Islam liberal-cabaran baru umat islam

`Islam liberal’ ialah istilah baru dalam dunia pemikiran Islam semasa. Kemunculannya dilihat sebagai sebahagian dari produk pemikiran yang diasaskan dari kerangka modenisme. Islam sebagai satu tema pemikiran diperdebatkan menerusi perspektif moden berasaskan dasar dan kerangka berfikir modenisme yang tersendiri. Natijahnya ialah, kelahiran satu citra berfikir baru yang berusaha untuk menyesuaikan Islam dengan realiti kehidupan moden yang sedang berkembang hari ini. Untuk memahami `Islam liberal’, masyarakat harus memahami latar dan dasar modernisme terlebih dahulu. Aliran modenisme sebagai satu kerangka berfikir muncul dari latar sejarah yang kompleks dan tersendiri yang dialami oleh masyarakat Barat sekitar abad ke 16 hingga I8 masihi. Ia adalah natijah dari reaksi penentangan sekelompok manusia di Barat terhadap sistem budaya dan struktur berfikir masyarakatnya yang dianggap mengongkong.

Institusi gereja yang mewakili kelompok penguasa dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan hidup dan kebejatan masyarakat. Tafsiran – tafsiran sempit penguasa agama tentang realiti, hukum dan kebenaran mengekang perkembangan ilmu dan kreativiti manusia. Untuk itu, masyarakat perlu dibebaskan dari tradisi ini iaitu monopoli satu kelompok masyarakat (penguasa agama dari institusi gereja) dalam menentukan kebenaran.

Di sinilah bermulanya idea dan gerakan modenisme. Ia adalah satu kepercayaan bahawa untuk mencapai kemajuan hidup, masyarakat harus dibebaskan dari tradisinya. Dari asas kepercayaan ini, ia berkembang sebagai satu gerakan intelektual dan kebudayaan berusaha merombak segala sistem kepercayaan dan struktur sosial yang dianuti dan diamalkan oleh tradisi. Secara khusus, aliran modenisme ialah gerakan protes yang berasa kecewa dengan kongkongan, monopoli dan manipulasi kelompok agama terhadap kebebasan dan hak-hak asasi individu dan masyarakat.

Apakah bentuk kepercayaan baru yang cuba untuk digantikan oleh aliran modenisme setelah mereka menolak tradisinya ? Kepercayaan baru itu dikenali sebagai `sekularisme’. Bagi golongan modenis, sekularisme dianggap sebagai `agama’nya. Antara ajaran utama `agama’ ini ialah bahawa `kebenaran bukan suatu yang mutlak’. Dalam kata lain, kebenaran bersifat relatif atau nisbi iaitu boleh berubah-ubah mengikut keperluan dan tuntutan.

Apakah alat yang akan menentukan `keperluan’ dan `tuntutan’ tentang makna kebenaran tersebut?. Alat tersebut menurut faham sekularisme ialah `rasional’. Ia beerti, sesuatu realiti, hukum atau kepercayaan yang wujud dalam persekitaran manusia adalah benar apabila ia boleh dibuktikan oleh rasional atau akal manusia. Dalam maksud lain, akal ialah sumber kebenaran mutlak menurut kepercayaan aliran modenisme.

Gerakan modenisme ini sepanjang sejarahnya telah berjaya merombak sistem tradisi masyarakat Barat dalam segenap aspek kehidupannya meliputi bidang pemerintahan, keilmuan, perundanngan, seni, hiburan dan tatacara moral. Menerusi faham sekularisme, gerakan modenisme menentukan tafsiran baru terhadap dimensi-dimensi ini menerusi kerangka rasionalisme. Peranan ajaran agama tidak lagi menjadi faktor penentu terhadap makna sesuatu kebenaran.

Aliran ini kini bertapak kukuh tidak sahaja dalam konteks masyarakat Barat malah juga di kalangan masyarakat Timur. Ia telah dikembangkan oleh penjajah-penjajah menerusi sistem pendidikan yang ditubuhkan ditanah-tanah jajahan. Aliran modenisme ini juga berkembang menerusi intekasi kebudayaan terutama apabila negara – negara bekas jajahan – setelah memperoleh kemerdekaan, telah menghantar sejumlah besar anak warganya ke negara Barat bagi mendapatkan latihan dan pendidikan.

Di negara ini secara khusus tidak terkecuali dari mendapat pengaruh aliran modenisme ini. Salah satu dari kesan pengaruh modenisme ialah perspektif dan kefahaman terhadap agama Islam. Perspektif ini pada hari ini dikenal sebagai `Islam liberal’ di mana pandangan atau tasawwurnya terhadap agama bercorak liberal atau tidak terikat dengan dasar-dasar tradisi yang diamalkan atau dianuti oleh masyarakat terbanyak. Ini dapat dilihat menerusi beberapa isu agama yang sedang rancak dibahaskan semenjak akhir-akhir ini yang meliputi perundangan, gender, poligami dan amalan sosial agama seperti aurat.

Sejak beberapa bulan yang lalu, dua isu dibahaskan aliran ini yang dianggap agak `kontroversi’ oleh masyarakat terbanyak. Pertama ialah cadangan bagi penubuhan `Suruhanjaya Antara Agama’ atau Interfaith Comission of Malaysia (ICM) Kedua ialah memorandum oleh 50 badan bukan kerajaan serta sejumlah individu-individu supaya kerajaan tidak mencampuri urusan atau tatacara moral penganutnya terutama orang-orang Islam memandangkan isu moral ialah hak peribadi individu.

Adakah benar dalang penganjuran program seumpama dialog antara agama juga didalangi oleh orang islam yang terpengaruh dengan pemikiran barat. Dan benarkah masalah moral merupakan hak individu seperti yang diperjuangkan oleh sesetengah pihak kumpulan Hak Asasi manusia?


Dari satu sudut, kedua-dua tuntutan ini dilihat suatu yang mempunyai `tarikan’nya yang tersendiri. Ini kerana cadangan-cadangan tersebut dikatakan bagi `memberikan hak asasi individu dan menegakkan prinsip kesamarataan untuk seluruh warga negara’.

Namun, sekiranya di nilai dari satu sudut yang lain, usaha ini adalah satu `protes’ terhadap monopoli kerajaan (dalam konteks khusus ialah pemimpin agama ) yang menyekat kebebasan individu menerusi saluran perundangan.

Dalam dua isu ini, wujud pertembungan yang jelas tentang makna dan pengertian `agama’ pada pandangan kelompok modenis dengan kepercayaan tradisi. Bagi kelompok Islam liberal, agama seolah dilihat sebagai natijah dari himpunan konsep-konsep yang terhasil dari perkembangan pemikiran manusia. Oleh kerana itu, urusannya boleh dicampuri oleh semua peringkat golongan walaupun oleh orang tersebut bukan ahlinya atau sehinggakan oleh orang yang bukan menganut ajaran agama tersebut. Dalam kata lain, agama ialah suatu bahan yang boleh dirasionalkan mengikut keperluan dan tuntutan kehidupan manusia.

Inilah yang boleh difahami apabila dicadangkan satu suruhanjaya khusus ditubuhkan bagi mentadbir hal ehwal agama-agama di negara ini. Secara jangka panjang, ia dilihat satu bentuk mekanisme alternatif terhadap struktur pentadbiran agama di negara ini di mana ia ditadbir oleh ahli-ahlinya yang berautoriti.

Bagi aliran Islam liberal, tidak ada autoriti dalam beragama kerana agama suatu yang bersifat rasional. Kebenaran agama bukan suatu yang mutlak. Untuk merasionalkan agama, maka langkah pertama ialah membentuk mekanisme baru bagi menghilangkan autoriti ahli agama yang selama ini dianggap memonopoli tafisran tentang kebenaran ajaran agama.

Begitu juga apabila dipersoalkan tentang hak negara dalam mengawal moral warganya. Ia dengan jelas menghuraikan ciri aliran Islam liberal yang menganut fahaman tentang kenisbian moral. Dalam kata lain, aliran ini menganggap bahawa moral bersifat relatif serta milik mutlak individu. Secara langsung ia menafikan hak agama dalam mengawal moral penganutnya atau dalam maksud lain, agama dan moral adalah suatu yang berlainan sama sekali.

Kepercayaan ini jelas bertentangan dengan kepercayaan tradisi iaitu walaupun individu berhak dan bebas melakukan apa sahaja tindak tanduk moral, namun agama juga memberi hak kepada individu, kumpulan penganut atau penguasa (kerajaan dan pemerintah) mengawal tindak laku moral penganutnya. Ini adalah perintah agama dan ia bersifat mutlak. Ini kerana agama mengutamakan kepentingan awam dan kesejahteraan penganutnya dari didorong dan dirosakkan oleh dorongan diri yang tidak terbatas.

Begitu juga dalam hal memberi tafsiran terhadap ajaran agama. Dalam konteks Islam, tradisi yang ketat bersumberkan pedoman wahyu dan pandangan ahli agama yang terdahulu diambilkira dalam menentukan sesuatu bentuk ajaran dan tafsiran. Ia bertujuan bagi memastikan ajaran agama tidak diselewengkan oleh individu atau kelompok tertentu yang mentafsirkan agama begi tujuan dan kepentingan dirinya. Dengan demikiran, keaslian ajaran agama dapat dipertahankan.

Kedua-dua isu yang dikemukakan oleh sebahagian ahli masyarakat di negara ini memperlihat secara jelas bagaimana pengaruh faham modenisme dalam membentuk perspektif mereka terhadap fungsi dan peranan agama, dalam konteks ini agama Islam.

Usaha-usaha ini adalah antara manifestasi pengaruh fahaman tersebut yang kini telah terbentuk dalam satu perencanaan yang tersusun. Ia menjelaskan tentang langkah gerakan aliran Islam liberal bagi menstrukturkan semula cara berfikir masyarakat negara ini terutama orang Islam menerusi kerangka berfikir yang dianutinya. Aliran Islam liberal mempercayai bahawa kerukunan hidup masyarakat negara ini yang berbilang bangsa dan budaya hanya boleh dijelmakan menerusi asas sekularisme. Asas agama yang menjadi tunjang pembentukan negara ini dilihat sebagai penghalang kepada kerukukan dan kemajuan hidup warganegaranya. Untuk itu, agenda pensekularan masyarakat harus menjadi rancangan utama dalam rangka membina sebuah bangsa Malaysia yang harmoni.

Alliran ini yang kini sedang mendapat tempat dan dokongan dari pertubuhan bukan kerajaan dan individu-individu yang sebahagiaanya agak berpengaruh merupakan satu cabaran baru kepada umat Islam negara ini secara khusus. Cabaran ini, sekiranya tidak ditangani secara berhemat akan menjadi ancaman kepada kerukunan dan keharmonian hidup beragama di kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Dengan tindakan yang cuba mencabar institusi pemerintah dan kepimpinan agama dalam sebuah negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi dan majoriti penduduknya komited dengan ajaran agama yang diasaskan berdasarkan tradisi ajarannya yang tersendiri, ia adalah suatu langkah yang tidak begitu bijak walaupun atas alasan dan cita-cita yang sungguh murni kerana bakal mengundang `ketidaktentuan’.

Adalah suatu kesilapan besar bagi aliran Islam liberal menyamakan suasana kehidupan beragama di negara ini kini seperti keadaan kehidupan agama masyarakat Barat dalam abad ke 16 hingga 18 masihi yang lalu. Penyamaan latar sejarah ini merupakan kesalahan perspektif yang paling tragis sekiranya ia diteruskan dengan protes-protes lain di masa hadapan.

Ini kerana, dalam konteks negara ini, faktor ajaran Islamlah, terutama prinsip toleransi, keterbukaan sikap, semangat ukhwah keinsanan dan kecintaan kepada keamanan dan perdamaian yang terhayat dengan cukup mendalam di dalam sanubari orang-orang Islam yang memungkinkan penganut-penganut agama lain dapat hidup dengan bebas mengamalkan ajaran agama dan kebudayaan tradisi yang diwarisi dari negara asal masing-masing.

oleh Muhamad Razak Idris